Friday, February 1, 2008

Ahbash Mengkafirkan al-Qaradhawi: Al-Qaradawi yang dizalimi

Oleh:Bakariah Musa, Sungai Pusu, Gombak.

Di dalam buku Fatawa Mu'asarah (Fatwa Masakini) jilid ke-3, al-Qaradawi telah mendedahkan bagaimana dirinya telah dizalimi. Dizalimi di sini bukanlah bermaksud beliau dipenjara, disiksa ataupun dituduh sebagai pengganas. Semua kezaliman tersebut pernah beliau lalui dan telah berjaya beliau atasi. Kezaliman yang beliau bawakan di dalam buku tersebut amat berat dan amat menguji keimanan beliau. Kezaliman tersebut adalah di dalam bentuk fitnah dari mereka yang mengaku diri mereka Muslim yang sebenar. Kezaliman tersebut datang dari dua pihak yang saling bermusuhan. Menariknya, di dalam isu al-Qaradawi mereka bersepakat.

Satu pihak mengkafirkan beliau, manakala satu pihak yang lain pula telah menyesatkan, dan tergamak menggelar beliau sebagai "anjing". Pihak pertama yang mengkafirkan beliau adalah kumpulan Ahbash, manakala pihak yang kedua pula adalah kumpulan Salafi jalur keras. Sudut yang menarik, kedua-dua pihak tersebut saling bermusuhan. Kumpulan Ahbash mengkafirkan puak Salafi secara umum. Puak Salafi jalur keras pula menyesatkan puak Ahbash, namun dalam kes al-Qaradawi mereka bersetuju di antara satu sama lain. Seperkara yang menakutkan ialah kedua-dua kumpulan ini telah sampai di Malaysia. Siapakah mereka?, artikel ini akan cuba mengupasnya.

Al-Qaradawi bukanlah seorang ulama yang asing pada masa kini. Keilmuannya, ketokohannya, malah keunggulan beliau bukanlah sesuatu yang diragui. Sebagai ulama yang menjadi rujukan hampir dalam setiap lapangan ilmu di zaman moden ini, beliau amat diminati dan dikagumi ramai. Beliau amat konsisten di dalam menyikapi isu-isu umat. Selain daripada kesungguhannya untuk menyebarkan dakwah, al-Qaradawi juga terkenal dengan sikap perjuangannya. Kebersamaan beliau dengan umat Islam lewat isu-isu berkaitan umat di peringkat antarabangsa menjadikan beliau amat berbeza dengan ulama-ulama lain di seluruh dunia. Isu Palestin, isu Iraq, isu Afghanistan dan semua isu melibatkan umat merupakan kepedulian beliau.

Di dalam bidang fiqh pula, beliaulah mujadidnya. Di dalam bidang dakwah, beliau juga merupakan seorang pejuang. Di dalam bidang hadis, tulisan-tulisan beliau telah berjaya mempopularkan perjuangan ulama hadis sezamannya. Di dalam bidang politik, beliau merupakan seorang mentor. Pendekata, jika ada yang ingin menamakan "mujaddid" di zaman ini, maka al-Qaradawi merupakan orang yang paling layak untuk gelaran tersebut di dalam abad ini.

Malangnya mujaddid ini telah dikafirkan. Kumpulan ekstrimis Ahbash telah mengkafirkan beliau kerana pegangan agamanya yang sederhana. Beliau juga telah dikafirkan kerana sikap keterbukaannya. Beliau juga telah dikafirkan kerana sikap ilmiah beliau yang sanggup menerima ijtihad ulama sezamannya. Beliau juga dikafirkan kerana pegangan dakwahnya. Beliau juga dikafirkan kerana pegangan aqidahnya yang mengikuti metod para salafusoleh. Beliau dikafirkan oleh kumpulan ini juga kerana manhaj beliau tidak seperti pendirian kumpulan ekstrimis Ahbash yang fanatik mazhab Shafii di dalam fiqh dan ekstrim mazhab ilmu kalam di dalam berakidah.

Kumpulan ekstrimis Ahbash ini berasal dari Lubnan. Kumpulan ini telah diasaskan oleh Abdullah Harari yang berasal dari Habsyah. Beliau telah dihalau keluar dari negerinya kerana fitnah yang telah ditimbulkan olehnya di kalangan ahli masyarakat di sana. Beliau melarikan diri ke Lubnan. Di Lubnan beliau telah merekrut ahli-ahli yang taksub dengannya. Berbekalkan fanatisme kepada mazhab Shafii di dalam fiqh dan juga ekstrimisme di dalam mazhab Abu Hassan al-Asyari di dalam akidah, beliau telah memulakan dakwahnya. Beliau menjadikan "takfir" sebagai senjata utama di dalam mengembangkan dakwah. Segala pendapat yang bertentangan dengan fikrahnya dianggap kafir. Ulama-ulama terkemuka telah beliau kafirkan seumpama Ibnu Taymiyah, Ibn Qayyim dan lain-lain. Beliau juga menjadikan tema mengkafirkan Muhammad bin Abdul Wahab sebagai jalan untuk menghasut orang agar bersetuju dengan fikrahnya. Beliau juga mengkafirkan Hassan al-Banna dan Syed Qutb. Yusuf al-Qaradawi merupakan di antara mereka yang dikafirkan oleh beliau dan para pengikutnya. Lebih lancang lagi, mereka juga telah mengkafirkan ulama-ulama kontemporari yang lain seperti Said Ramadan al-Buti, Abdul Aziz Bin Baz, Dr Wahbah al-Zuhayli, Syeikh Mahmud Syaltut, Syed Sabiq dan kebanyakan ulama moden dan juga pemimpin tarekat sederhana seperti Jibril Haddad, tokoh tarekat Naqshabandi zaman ini.

Kumpulan ini telah mengamil langkah menyusup masuk ke adalam jabatan-jabatan agama di Lubnan, Syria dan Jordan. Kementerian Waqaf (agama) di Jordan pada satu waktu dahulu telah dipengaruhi oleh kumpulan ini. Mereka telah menyokong Israel yang ebrdamai dengan rejim al-marhum Raja Hussein demi menempatkan diri mereka di dalam hati pemimpin Jordan. Mereka telah menghantar imam-imam Ahbash untuk menghasut masyarakat agar mengkafirkan sesama Muslim. Bertemakan "memerangi fahaman Wahabi" mereka berakhir dengan mengkafirkan umat Islam dan para ulamanya. Jordan, bertuah, pada akhirnya pengaruh kumpulan ini akhirnya telah berjaya dibendung. Para imam Ahbash akhirnya telah dibuang dari tempat masing-masing. Di Lubnan, mereka akhirnya telah diharamkan selepas peristiwa pembunuhan Rafiq Hariri. Rekod telefon Hariri menunjukkan perbualan terakhir beliau adalah bersama salah seorang pimpinan tertinggi Ahbash. Kumpulan ekstrimis yang dikenali sebagai pro-Syria ini disyaki terlibat di dalam peristiwa pengeboman tersebut. Tidak mustahil juga beliau bersekongkol dengn Syiah di dalam usaha membunuh Hariri yang berketurunan Saudi. Kini, kumpulan ini begitu berpengaruh di Syria.

Kumpulan ini sering menjadikan "fahaman Wahabi" sebagai kambing hitamnya. Sepertimana golongan Syiah juga, slogan anti-Wahabi itu akan berakhir dengan isu takfir. Kumpulan ini juga telah mengkafirkan Muawiyah sahabat Rasulullah SAW seperti golongan Syiah. Di Jordan, kumpulan ini mempunyai sahabat setia mereka yang berkongsi fikrah "takfir", iaitu Hassan al-Saqqaf. Al-Saqqaf terkenal sebagai seorang yang gemar mengkafirkan Ibnu Taimiyah dan ulama-ulama besar yang lain. Seperti Syiah dan Ahbash, beliau juga mengkafirkan Muawiyah bin Abi Sufian, sahabat besar Rasulullah SAW. Kini kumpulan ini mula berkembang di Malaysia.

Mungkin ramai pihak merasa pelik melihat perkembangan terkini Islam di Malaysia. Isu Wahabi bukanlah satu isu yang besar satu waktu dahulu. Malah, Muhammad bin Abdul Wahab telah dianggap sebagai salah seorang mujaddid di kalangan gerakan-gerakan dakwah dan kumpulan Islam di Malaysia. Umat Islam pasca kebangkitan Islam di Malaysia juga amat menghormati adab berbeza pendapat. Malangnya kedatangan pengaruh kumpulan ini ke Malaysia telah mengubah segalanya. Secara tiba-tiba perjuangan "memerangi Wahabi" muncul. Selari dengan usaha AS memerangi keganasan, usaha memerangi "Wahabi" muncul di Malaysia. Sesuatu yang menarik, modus operandinya sama seperti di Jordan. Jika Kementerian Waqaf (agama) telah digunakan di Jordan. Di Malaysia, JAKIM pula sedang diintai untuk mereka tunggangi. Sesetangah jabatan agama negeri juga sedang cuba dipergunakan untuk menjayakan misi Ahbash melalui orang-orang yang telah mereka susupkan ke dalam badan-badan tersebut. Sehingga kini, mereka telah berjaya mempengaruhi beberapa tokoh agama tempatan. Hal ini bukan lagi rahsia.

Kini sudah mula kedengaran di Malaysia suara-suara "takfir". Dr Yusuf al-Qaradawi juga tidak terlepas dari perbuatan keji kumpulan berkenaan. Gejala takfir ini semakin merebak dan amat mengerikan umat Islam di Malaysia. Bertopengkan memerangi "fahaman Wahabi", kumpulan Ahbash terus bergerak subur di Malaysia untuk menimbulkan fitnah.

Di satu sudut yang lain, al-Qaradawi juga telah dikafirkan oleh kumpulan Salafi jalur keras. Kumpulan yang sentiasa menjadikan tulisan-tulisan dan pemikiran-pemikiran Rabi' Madkhali dari Madinah dan Muqbil Hadi dari Yaman juga tidak kurang kelancangannya. Kumpulan ini menolak ulama-ulama selain dari ulama Saudi dan Salafi yang ekstrim. Mereka juga menyesatkan kumpulan-kumpulan dakwah bealirankan gerakan Islam. Mereka juga memerangi pendapat ulama-ulama yang tidak selari dengan pendapat mereka. Mereka tidak teragak-agak untuk menuduh pihak yang tidak sefahaman dengan mereka sebagai sesat, ahli bid'ah, zindiq, malah al-Qaradawi telah digelar sebagai "anjing".

Amat malang sekali, kumpulan ini juga mula menular di Malaysia. Mereka telah mengakui bahawa mereka adalah pejuang aliran Salafi yang sebenar. Mereka juga menamakan diri mereka sebagai "Salafi Original". Mereka sanggup untuk menyesatkan aliran salafi yang lebih majoriti kerana tidak bersama kefanatikan mereka di dalam menyesatkan al-Banna, Syed Qutb dan juga al-Qaradawi. Kumpulan ini sanggup menghabiskan waktu mereka untuk menghebohkan kepada rakyat Malaysia bahawa Hassan al-Banna, Syed Qutb dan Yusuf al-Qaradawi sebagai sesat lagi menyesatkan yang lain. Mereka juga sanggup untuk menerbitkan risalah-risalah untuk tujuan tersebut. Di kala kumpulan Ahbash sedang giat memfitnah golongan Salafi dengan mengatakan bahawa kumpulan Salafi adalah kumpulan sesat dan ekstrimis, kumpulan ini seakan mengiyakannya. Mereka bertemu di dalam persoalan ini. Kesimpulannya, al-Qaradawi sekali lagi menjadi mangsa.

Umat Islam di Malaysia kali ini benar-benar diuji. Di kala masyarakat Islam sedang diancam pelbagai isu moral dan kerosakan akidah, dua kumpulan ini muncul. Kemunculan mereka hanya mengeruhkan lagi masa depan Islam yang semakin terhakis di Malaysia. Apakah perlu al-Qaradawi dijemput ke Malaysia untuk merawatinya?

No comments: