Oleh: Abu Syuaib
Dunia Islam tidak pernah sunyi dari gangguan golongan-golongan yang menyeleweng dari jalan yang lurus iaitu ahli sunnah wal jamaah. Sesungguhnya sejarah telah membuktikan perkara ini. Maka munculnya golongan seperti syiah rafidhah, khawarij, Murjiah, Muktazilah, Jabariyah, Jahmiyah dan selainnya yang merosakkan pegangan aqidah yang benar. Walaupun sebahagian daripada golongan yang disebutkan namanya hanya tinggal sejarah dan telah pun lenyap di telan zaman, tetapi hakikat yang terpaksa kita akur ialah pemikiran golongan-golongan ini masih wujud pada zaman ini hasil daripada saki-baki pengikut golongan tersebut yang menyebarkan fahaman mereka sehinggalah ke hari ini.
Cuma yang sedihnya mereka menyebarkan pemikiran dan ajaran yang menyeleweng ini dengan berselindung di sebalik nama ahli sunnah wal jamaah supaya kesesatan mereka tidak dapat dihidu oleh masyarakat umumnya.
Diriwayatkan oleh al-Darimi bahawasanya Abdullah bin Mas’ud r.h. berkata: “Suatu hari Rasulullah s.a.w. membuat satu garisan (yang lurus) lalu baginda bersabda Ini ialah jalan Allah. Kemudian baginda menambah garisan-garisan di sebelah kanan dan kirinya (garisan lurus tersebut) lalu baginda bersabda ini ialah jalan-jalan dan di setiap jalan-jalan tersebut ada syaitan yang memanggil-manggil kepadanya, kemudian nabi membaca ayat al-quran surah al-An’am ayat 153 yang bermaksud: “dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikut jalan-jalan (yang lain) kerana jalan itu memecah belahkan kamu dari jalanNya”.
Fokus artikel ini ialah menjelaskan kepada masyarakat sebuah kumpulan yang sudah mula bertapak di Negara ini dan sangat giat menyebarkan fahaman mereka di dalam masyarakat. Kumpulan ini ialah sebuah Jemaah Takfir yang dinamakan oleh mereka sendiri sebagai Al-Ahbash.
Kumpulan ini telah lama muncul tetapi ianya baru memasuki Negara kita sejak kebelakangan ini melalui pelajar-pelajar yang melanjutkan pelajaran di timur tengah khususnya di Lubnan dan disebarkan melalui blog-blog mereka di dalam internet.
Maka umat Islam Malaysia harus peka dan berwaspada dengan perkembangan ini serta mesti mengenali ciri-ciri Jemaah Takfir ini supaya tidak terjebak ke dalamnya.
Kumpulan ini telah pun disebut di dalam kitab al-Mausu’ah al-Muyassarah fi Adyan wal Mazahib wal Ahzab al-Mu’asirah iaitu sebuah ensiklopedia yang menceritakan tentang agama, mazhab dan kumpulan-kumpulan yang muncul di dalam Islam. Disebut bahawa Al-Ahbash merupakan sebuah kumpulan yang sesat yang diambil namanya bersempena gelaran yang diberikan kepada guru mereka Abdullah al-Harari al-Habasyi. Kumpulan ini yang muncul di Lubnan dengan menggunakan peluang yang ada ketika keadaan huru-hara yang berlaku di Negara itu disebabkan perang saudara. Apabila berlakunya perang saudara ini menyebabkan masyarakatnya berada di dalam keadaan kejahilan dan kefakiran. Dan ketika itulah kumpulan Ahbash ini mengambil peluang untuk menyebarkan ajaran mereka melalui metodologi ahli kalam, amalan kesufian dan kebatinan bertujuan merosakkan aqidah dan memecah belahkan kesatuan umat islam.Abdullah al-Harari dikenali sebagai “al-Fattan” pembawa fitnah, juga dikenali sebagai “Syeikhul Fitnah” iaitu orang yang suka membawa fitnah. Ini disebabkan tindakan Abdullah al-Harari ini yang bersekongkol dengan kerajaan kafir Hilasilasi di lubnan pada ketika itu yang akhirnya menyebabkan ramainya para ulamak dan pendakwah yang melarikan diri ke Mesir dan Saudi untuk menyelamatkan diri dari fitnah tersebut.
Sesungguhnya kumpulan Ahbash ini membawa fahaman yang menyeleweng dari mazhab ahli sunnah wal Jamaah. Antaranya mereka berfahaman Jahmiyyah iaitu kumpulan yang menafikan sifat Allah Ta’ala, membawa fahaman Murjiah, Jabariah dan Rafidhah atau syiah. Mereka mencela para sahabat Nabi dan menuduh Ummul Mukminin Aisyah r.ha telah bermaksiat kepada Allah disamping fatwa-fatwa mereka yang pelik.
Akhirnya Abdullah al-Harari berjaya mengumpulkan pengikut-pengikut yang taksub dimana mereka tidak mengiktiraf keislaman seseorang kecuali kepada mereka yang tunduk dan mengakui aqidah yang dibawa oleh Syeikh mereka Abdullah al-Harari sahaja. Sedangkan aqidah yang dibawa oleh Abdullah al-Harari ini menyeleweng dari aqidah ahli sunnah wal jamaah. Pengikut-pengikut yang taksub ini memaksa orang ramai mempelajari aqidah al-Habasyiah dengan mengetuk-ngetuk pintu rumah dan menyebarkan buku-buku syeikh mereka secara percuma.
Di antara tokoh Ahbash ini ialah Nizar al-Halabi yang digelarkan oleh mereka sebagai “Samahatu al-Syeikh” iaitu gelaran bagi seorang mufti. Pengikut-pengikut yang taksub ini menconteng di dinding-dinding jalan slogan “Katakan tidak kepada Hassan Khalid (mufti lubnan) yang Kafir, dan katakan ya kepada mufti Nizar al-Halabi”. Mufti Hassan Khalid ini telah dibunuh oleh kumpulan Ahbash ini. Dan akhirnya Nizar al-Halabi ini juga mati dibunuh kerana fatwa-fatwa sesat yang dikeluarkan olehnya. Begitulah akhlak buruk pengikut-pengikutnya yang diajarkan oleh guru mereka al-Harari iaitu amat mudah melemparkan tuduhan kafir kepada sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan kumpulan mereka.
Aqidah dan ajaran yang dianuti
• Ahbash mendakwa mereka bermazhab dengan mazhab al-Syafi’e di dalam fiqh dan juga aqidah, sedangkan pada hakikatnya mazhab mereka amat jauh dari mazhab Imam al-Syafi’e. Mereka secara semberono mentakwil sifat-sifat Allah Ta’ala tanpa berpandukan kepada kaedah yang betul, contohnya mentakwil iaitu mengubah sifat Allah Ta’ala Istiwa’ kepada Istila’ iaitu berkuasa seperti yang dilakukan oleh mazhab Muktazilah dan Jahmiyyah.
• Al-Harari Al-Habasyi mendakwa al-Quran merupakan lafaz Jibril, maka Al-Quran itu bukanlah kalamullah sepertimana aqidah ahli sunnah wal jamaah. Ini boleh dilihat di dalam kitab yang ditulis oleh al-Harari sendiri Izdharul Aqidati al-Sunniyyah:ms. 51.
• Ahbash di dalam masalah yang berkaitan dengan iman seperti Murjiah dan Jahmiyyah iaitu memisahkan di antara iman dan amal. Amalan seseorang tidak ada kena mengena dengan iman. Maka seorang itu dikira beriman di sisi mereka walaupun meninggalkan solat dan juga rukun-rukun islam yang lainnya. Ini bercanggah dengan aqidah ahi sunnah wal jamaah yang menyatakan islam itu ialah iman dan amal. Sila lihat buku al-Harari al-Dalil al-Qawim: ms. 7 dan kitabnya Bughyatu al-Tolib: ms.51
• Al-Harari berkata: “Sesiapa yang tidak berhukum dengan syariat Allah di dalam dirinya, tidak melaksanakan kefardhuan yang telah ditetapkan oleh Allah, Tidak menjauhkan diri dari kemaksiatan (melakukan kemaksiatan), tetapi di dalam seumur hidupnya dia pernah mengucapkan “La ilaha illallah” walaupun sekali, dia merupakan seorang islam yang beriman. Juga disebutkan sebagai orang yang beriman yang berdosa. Rujuk al-Dalil al-Qawim: ms. 9-10 dan Bughyatu al-Tolib: ms. 51.
• Ahbash di dalam masalah al-Qadr merupakan Jabariyyah. Mereka mendakwa bahawa Allah lah yang menolong seorang kafir di atas kekufurannya, kalau tidak kerana Allah maka tidaklah seorang kafir itu menjadi kafir. Lihat kitabnya al-Nahju al-Salim: ms. 71
• Ahbash menggalakkan supaya pergi ke kubur dan memohon hajat dan pertolongan kepada ahli kubur. Ini kerana menurut dakwaan mereka ahli kubur akan keluar dari kubur-kubur mereka untuk menunaikan hajat orang yang memohon kepada mereka kemudian kembali ke kubur semula. Begitu juga mereka membenarkan memohon perlindungan dari selain Allah. Lihat al-Dalil al-Qawim: ms. 173, Bughyatu al-Tolib: ms. 8 dan Sorih al-Bayan: ms. 57, 62.
• Ahbash mensahihkan hadis-hadis yang lemah dan palsu yang menyokong mazhabnya dan sebaliknya melemahkan sesuatu hadis sekiranya bercanggah dengan mazhabnya. Boleh dilihat dengan jelas di dalam kitabnya al-Maulid al-Nabawi.
• Al-Harari banyak mencela para sahabat terutamanya Muawiyyah bin Abi Sufian r.h, ummul Mukminin Aisyah r.ha. mengutuk Khalid bin al-Walid dan sahabat yang lainnya. Dia juga berkata sesiapa yang tidak bersama pemerintahan Ali mati dalam keadaan Jahiliyyah.
• Al-Harari mengkafirkan sekian ramai para ulamak, maka dia menghukum Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah sebagai kafir dan menjadikan kewajipan pertama bagi setiap mukallaf mengiktiraf kekufurannya. Begitu juga Imam al-Zahabi disisinya seorang yang keji. Mengkafirkan Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab, Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani, Syeikh Sayyid Sabiq, Sayyid Qutub, Syeikh al-Qaradhawi, Syeikh Said Ramadhan al-Buti dan ulamak yang lainnya. Tetapi Ibn Arabi seorang yang sepakat ulamak mengatakan kufurnya fahaman yang dibawa iaitu wahdatul wujud, aqidah hulul dan sebagainya, al-Harari mengatakannya sebagai Syeikhul Islam.
• Antara fatwa-fatwa al-Harari al-Habasyi di dalam feqh yang pelik ialah seperti bolehnya melihat kepada wanita ajnabiah (tidak menundukkan pandangan), ihktilat (percampuran lelaki dan wanita), boleh bersalam-salaman antara wanita ajnabiah, wanita boleh keluar rumah dalam keadaan tabarruj dan memakai wangi-wangian walaupun tanpa keizinan dan keredhaan suami. boleh berjual-beli anak yang merdeka, bolehnya memakan hasil riba’ dan bolehnya bersolat dengan pakaian yang bernajis. Lihat Bughyatu al-Tolib: ms. 99. Maka dari apa yang telah disebutkan di atas maka ciri-ciri kumpulan Ahbash ini boleh disimpulkan seperti berikut:
Bermazhab dengan Mazhab al-Asy’ari yang terkemudian di dalam masalah sifat-sifat Allah yang lebih menghampiri mazhab Jahmiyyah
Bermazhab Murjiah dan Jahmiyyah di dalam masalah iman
Berpegang dengan tarekat kesufian yang menyeleweng seperti tarekat al-Rifa’ie dan Naqsyabandiah dan juga aqidah golongan al-batiniyyah.
Mengkafirkan para ulamak dan umat islam umumnya yang tidak sehaluan dengan mereka.
Mensahihkan hadis yang lemah atau palsu berdasarkan apa yang selari dengan kumpulan mereka dan melemahkan sebuah hadis yang sahih sekiranya bercanggah dengan kumpulannya.
Mengaburi masyarakat dengan gelaran ulamak hadis dan sebagainya yang mereka berikan kepada guru mereka al-Harari seperti Al-Allamah al-MuhaddisAntara kitab-kitab yang ditulis oleh Abdullah al-Harari yang disebarkan di Malaysia termasuk di perpustakaan-perpustakaan Universiti tempatan seperti:
• Al-Maqalat al-Sunniyyah fi Kasyfi Dhalalat Ibn Taimiyyah
• Al-Ta’qib al-Hasis• Al-Nahju al-Sawi fi Raddi ‘ala Sayyid Qutub
• Al-Dalil al-Qawim ‘ala Sirat al-Mustaqim
• Bughyatu al-Tolib fi Makrifati ilmi al-Din al-Wajib
• Izhar al-Aqidah al-Sunniyyah syarh al-Aqidah al-Thohawiyyah
• Kitab al-Maulid al-Nabawiy
• Sorih al-Bayan
• Al-Taufiq al-Rabbani fi Raddi ‘ala Ibn Taimiyyah al-Harrani
No comments:
Post a Comment